Hidup Saya Bersama 4life

Monday, 7 November 2011

Ilmu Bahasa Melayu

Ilmu yang diperolehi semasa bertugas di SMK Dato` Sulaiman.

Terima kasih kepada Cikgu Azizul Rahman Bin Abdul Rahman, beliau  telah memberi banyak ilmu yang sangat berguna untuk dimanfaatkan terutama kepada anak-anak bagi meninggikan penguasaan Bahasa Melayu.


BUNGA-BUNGA BAHASA UNTUK PENULISAN

Prakata

Komunikasi memerlukan alat yang sesuai untuk menjadikannya lebih berkesan. Dalam pengucapan atau penulisan, ada gaya yang berbeza untuk situasi yang berlainan. Apabila komunikasi berlangsung dengan gaya dan nada yang serasi dengan kehendak khalayak, mesejnya akan lebih mudah diterima. Penulisan mahupun lisan sangat bergantung pada kesesuaian cara berkomunikasi. Dalam masyarakat Melayu, atau dalam konteks sekolah, serta dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Melaya, teknik berkomunikasi secara berkesan perlu diberi perhatian. Inilah yang disebut retorik, yakni seni pengucapan.

                Penulisan buku ini bertujuan menyediakan alat bantuan kepada penulis amatur atau khususnya pelajar yang belum mahir mencipta kalimat yang berseni, indah serta efektif. Dengan membiasakan diri menulis dalam gaya bahasa yang indah, walaupun secara meminjam, lama-kelamaan mereka akan terdorong untuk menghasilkan kalimat indah sendiri secara spontan. Tidak ada salahnya jika pada peringkat awal seseorang pelajar meminjam gaya bahasa yang telah digunakan oleh penulis yang lebih matang kerana secara logiknya tiada seorang manusia pun terus berkeupayaan mencipta bahasanya sendiri. Penulis yang matang pun bermula dengan meniru bahasa orang lain.

                Bagi membantu penulis amatur dan pelajar, buku ini menyediakan tiga segmen, iaitu (a) bahasa kiasan untuk karya kreatif, (b) frasa puitis untuk karya nonkreatif, dan (c) peribahasa untuk penulisan. Peribahasa boleh diaplikasikan dalam karya kreatif dan karya nonkreatif menurut kesesuaiannya. Semoga pengguna buku ini mendapat manfaat daripada bahan yang disediakan. Manfaat itu bukan hanya dalam bentuk pengambilan secara langsung, malahan dapat melatih mereka untuk lebih kreatif menghasilkan kalimat indah secara spontan tanpa berdasarkan buku panduan lagi. Selamat berusaha mengucapkan idea secara berseni.



Penerbit



Bahasa Kiasan untuk Karya Kreatif

Bagi penulisan kreatif, ada gaya bahasa yang tersendiri demi menimbulkan keindahan secara berkias. Dalam masyarakat Melayu khususnya, atau masyarakat Timur amnya, bahasa kiasan diperlukan untuk komunikasi kerana sifat masyarakat itu penuh dengan kesantunan. Kritikan atau teguran misalnya, tidak disampaikan secara langsung demi menjaga maruah orang yang ditegur. Demikianlah sifat masyarakat yang sangat mementingkan adab.
Masyarakat Melayu tradisional yang hidup berdamping dengan alam sering menjadikan alam sebagai alat perbandingan untuk menyatakan hasrat dan persepsi mereka tentang segala hal. “Alam terbentang jadikan guru” merupakan ungkapan peribadi orang Melayu kerana alam dan sunahnya tidak menipu. Gerak awan sebelum turunnya hujan, ombak lautan yang berselang seli santun dan ganasnya, pucuk tumbuhan yang seragam siatnya pada setiap musim, dan begitu juga sifat haiwan yang tidak berubah polanya sentiasa menjadi rujukan masyarakat Melayu tradisi. Mereka menjadikan alam sebagai pembayang kepada rentak dan tingkah manusia supaya hasrat dan aspirasi mereka tersampai secara halus, sesuai dengan kehalusan budi dan daya manusia Melayu. Inilah keunikan bangsa yang seharusnya disuburkan demi memastikan budaya halus Melayu tetap melindungi peribadi umatnya.
                Biarpun masa berubah dan manusia Melayu sudah dirempuh oleh peradaban besar dunia yang semakin berkuasa lantaran terbukanya langit maklumat, sahsiah murni bangsa wajar dikekalkan. Dalam hubungan ini, bentuk pengucapan secara berkias, baik dalam komunikasi bersemuka mahupun dalam budaya tulisan perlu diajarkan kepada generasi muda. Budaya halus ini berupaya mengisi kekosongan jiwa dan jati diri generasi muda. Dengan memiliki kemampuan menyusun kata yang berkias, generasi muda akan memiliki jati diri yang sendiri, berbeza daripada golongan yang sudah kehilangan nilai tersebut.
                Menyedari hakikat itu, bab ini menyenaraikan sejumlah besar ungkapan, kalimat dan frasa yang berkias atau disebut sebagai bahasa figuratif. Bahasa figuratif berkomunikasi secara analogi. Sesuatu perkara disamakan dengan perkara lain yang biasa dan perbandingan itu mengajak pembaca untuk menggambarkan persamaannya.
                Kaedah ini berbeza daripada pengucapan secara harfiah.Apabila sesuatu bahasa itu mudah, langsung, dan terus terang dengan menggunakan kata untuk membawa maksud konvensional, maka bahasa itu disebut bahasa literal atau bahasa harfiah. “Literal” berasal daripada istilah Latin, iaitu litera yang bermakna letter; perkara literal ialah yang menurut letter. Maka literal ialah makna yang dicatatkan dalam kamus. Begitu juga harfiah yang kita gunakan sebagai asas perkataan huruf.
                Sebaliknya, bahasa figuratif menunjukkan bahawa makna sesuatu kata atau ekspresi itu dikembangkan untuk mengisi ruang yang lebih luas atau ruang yang berbeza daripada yang biasa. Penulis atau penutur boleh mengembangkan kerana terdapat kesamaan atau perhubungan antara kedua-dua perkara yang menjadikan konteks itu nyata.
                Bahasa figuratif yang juga disebut sebagai “majas”, kiasan atau figure of speech, berfungsi untuk meninggikan kesan penyampaian dengan cara membandingkan suatu benda atau subjek dengan benda atau subjek yang lain. Dengan cara itu, majas dapat mengubah dan menimbulkan nilai rasa atau kontonasi tertentu. Majas tergolong sebagai bentuk retorik, yakni bentuk bahasa yang bernilai pujukan atau untuk menyakinkan pendengar..
                Majas dapat dibahagikan pula kepada beberapa jenis.
Antaranya adalah seperti yang berikut:
i.                      Simile
ii.                     metafora
iii.                    personifikasi
iv.                   depersonifikasi
v.                    hiperbola
vi.                   alusi

Simile

Simile membuat perbandingan dengan menggunakan perkataan “seperti”, “bagai”, dan “bak”. Silime mengandungi dua bahagian, iaitu subjek utama dan bahan bandingan. Contohnya “cinta bagai setetes embun”. Subjek utama bagi simile di atas ialah cinta dan bahan bandingannya ialah setetes embun. Biasanya, bahan bandingan mengandungi imej iaitu kata atau ungkapan yang membentuk sesuatu perkara yang boleh ditanggapi oleh deria. Setetes embun ialah imej atau lambang visual dan konkrit yang dapat dirasai oleh deria dengan atau lihat. Biasanya, bahan bandingan mengikuti subjek utama tetapi ada kala keadaan terbalik, iaitu bahan bandingan yang diikuti oleh subjek.
                Simile digunakan untuk beberapa tujuan yang lazimnya sama dengan metafora. Penggunaan metafora dan simile yang berkesan mestilah memenuhi beberapa syarat:
a.                    Mestilah segar dan asli, Simile dan metafora yang klise (yang sudah biasa dan menjemukan) tidak akan membawa kesan yang kuat.
b.                    Bahan bandingan mesti sesuai dengan subjek yang dikemukakan.
c.                    Mesti selaras dengan konteks yang melatarinya.
d.                    Tidak seharusnya digunakan dengan kerap pada bila-bila masa atau pada mana-mana tempat.

Dalam buku ini, antara ungkapan simile ialah “bagai panah arjuna”, “seperti sebuah medan yang baru dipugar”. Ketiga-tiga ungkapan itu menjelaskan perkara yang lain tetapi dengan menggunakan unsur bandingan yang lebih mudah untuk difahami oleh pembaca akan maksud penulis. Dengan menggambarkan sekuntum kiambang secara visual, pembaca mudah memahami rupa perkara yang dikatakan oleh penulis. Dengan cara ini, daya imaginasi dan daya fakir pembaca dapat diaktifkan. Sekiranya sesuatu perkara itu disampaikan secara langsung, imaginasi pembaca akan mati, beku, dan tidak hidup. Malahan, pengucapannya menjadi hambar.


Metafora

Metafora ialah suatu bentuk perbandingan, berasal daripada bahasa Yunani metaphora yang bererti memindahkan, daripada meta (di atas atau melebihi) + phetein (membawa). Metafora tidak menyatakan bahawa sesuatu yang dibandingkan itu berkeadaan sepertinya tetapi sebaliknya unsur itu merupakan perkara yang sama dan bahawa kedua-duanya adalah serupa sedangkan hakikatnya bukan demikian.
                Salah satu tujuan yang penting bagi metafora adalah untuk memperjelas, menghuraikan, atau menerangkan sesuatu perkara atau idea yang kurang lumrah atau yang asing. Oleh sebab konsep yang diperkenalkan itu tidak lazim, maka melalui metafora konsep itu dapat dikemukakan dengan imej tertentu supaya lebih mudah dilihat dan difahami. Selain memperjelas konsep, metafora juga digunakan untuk perkara yang berikut :
a.                    mengembangkan idea
b.                    mengungkapkan perasaan
c.                    menghiburkan perasaan
d.                    mencetuskan kesedaran

Metafora tidak berbeza daripada simile walaupun fungsinya untuk menyamakan sesuatu dengan unsur yang lain. Yang sebenarnya dimaksudkan ialah bahawa sesuatu yang dijadikan perbandingan itu menyerupai atau sama sepertinya. Perbandingannya adalah secara terus. Contohnya, “solat itu jantung kehidupan”. Kalimat ini tidak menggunakan perkataan “seperti”. “bagai”, “umpama” (seperti dalam simile) untuk menyamakan ibadah solat dengan organ jantung yang membawa makna organ paling penting dalam tubuh manusia.
Metafora juga sering terbina dengan cara menggabungkan dua unsur, iaitu yang konkrit dengan yang abstrak. Tujuannya adalah untuk menjelaskan unsur yang abstrak melalui unsur konkrit kerana deria manusia lebih mudah mengesan sifat unsur konkrit sebagai bandingan unsur abstrak.
Antara ungkapan metafora yang dimuatkan dalam buku ini ialah “cebisan belas” , “abu senja”, dan “mangkuk malam”. Ketiga-tiga ungkapan itu menggabungkan unsur abstrak dengan unsur konkrit bagi menyampaikan perspektif penulis secara visual. Ungkapan “cebisan belas” membawa maksud rasa belas kasihan itu hanya berupa cebisan atau sisa sahaja. Jadi, penulis tidak perlu menyatakan “rasa belasnya sedikit” kerana cara seperti itu tidak berseni dan tidak indah. Begitu juga “abu senja” merujuk kepada sifat konkrit “abu” yang berbentuk serbuk berterbangan bagi menunjukkan kedatangan senja seperti tebaran abu, perlahan dan berunsur mengelamkan suasana.
Gambaran seperti itu lebih mudah dikongsi dan difahami oleh pembaca kerana mental deria lihat mereka dihidupkan untuk memahami rupa unsur yang abstrak, yang asalnya tidak dapat dilihat. Pendeknya, metafora menjadikan sesuatu yang tidak dapat dikesan oleh pancaindera akhirnya dapat dikesan. Lebih penting, bukanlah ungkapan sebegitu lebih indah dan menarik kerana berlainan daripada pengucapan biasa?

Personifikasi

Satu lagi bahasa kiasan yang sangat popular ialah personifikasi. Personifikasi bermakna memberikan sifat manusia kepada benda atau binatang. Pada asasnya, ini merupakan bentuk metafora yang khusus. Dalam keadaan yang paling mudah dan lazim, personifikasi menggunakan kata ganti diri orang ketiga untuk perkara bukan manusia. Jika sebaliknya yang berlaku, iaitu manusia diberi sifat bukan manusia, maka konsep itu disebut dipersonifikasi.
                Penyajak sangat gemar menggunakan teknik personifikasi untuk menggambarkan rupa alam kerana deria lihat dan pengalaman sedia ada pembaca lebih mudah memahami gambaran itu melalui bandingan dengan sifat manusia. Contoh personifikasi dalam buku ini ialah “pagi menyelak pangsir cuasa”, “langit yang menumpahkan air mata”,  dan “kerisauan bertandang di hatinya”. Jika pagi dapat menyelak langsir suaca bukankah aneh kerana pagi bukannya manusia, tetapi sifat manusia itu diberikan kepada pagi demi mewujudkan gambaran hidup. Langit tidak ada wajah yang konkrit dan bukannya benda hidup tetapi apabila langit menangis ada unsur kesedihan diterapkan pada gambaran hujan yang turun dari langit. Begitu juga anehnya kerisauan yang hanya berbentuk perasaan boleh mengambil aksi manusia, iaitu hadir atau bertandang. Perkataan bertandang lebih bersifat halus, yakni kedatangan seseorang dengan tujuan yang baik, atau berziarah. Tetapi aksi itu diberikan kepada perasaan kerisauan demi memaksudkan kemunculan rasa risau itu dalam keadaan yang tidak mendadak.
                Apabila pembaca berjaya mengasosiasikan rupa unsur bukan manusia itu dengan sifat dan aksi manusia, akan lebih jelaslah maksud penulis diterima oleh pembaca. Di sinilah letaknya kekuatan bahsa personifikasi. Kesannya lebih dalam berbanding dengan pengucapan biasa: hari pun pagi, hari hujan, hatinya risau. Memanglah mudah untuk memahami pengucapan begitu, tetapi maksud yang lebih mendalam dan berunsur emosi tidak kesampaian.


Depersonifikasi

Depersonifikasi ialah kebalikan daripada personifikasi, iaitu manusia pula diberi sifat bukan manusia. Kesannya dapat dirasai oleh pembaca dengan membandingkan aksi manusia dengan binatang atau unsur bukan manusia yang lain. Contohnya “senyumannya masih kaku tersimpan” “kegusaran yang bersarang”, dan “suara memetir”. Aksi dan perasaan manusia tersebut telah digambarkan dengan sifat bukan manusia. Senyuman boleh dikakukan  dan disimpan; kegusaran boleh membentuk sarang (mungkinkah seperti sarang lebah atau sarang burung?); dan suara manusia menjadi petir. Jadi, mental pembaca akan menangkap persepsi penulis tentang ketiga-tiga perkara itu dengan syarat mereka memahami sifat unsur yang menjadi bandingan.


Hiperbola

Kata hiperbola berasal daripada bahasa Yunani yang bererti “pemborosan” atau “berlebih-lebihan”; dan diturunkan daripada perkataan hyper (melebihi) + ballein (melemparkan). Hiperbola ialah penggunaan kata yang berlebih-lebihan untuk menerangkan sesuatu. Gaya bahasa ini bukanlah untuk tujuan pemujukan literal tetapi untuk meningkatkan atau menghasilkan kesan tertentu. Majas ini melibatkan kata-kata, frasa, atau kalimat bagi menimbulkan kesan dari segi aspek jumlah, saiz, sifat.
Contohnya,
i.                      Suara itu mengandungi seribu derita yang tidak berkesudahan
ii.                     Tenungan tajam itu seolah-oleh ada dendam
iii.                    Air mata mencurah-curah dari tabir matanya


Alusi

Alusi ialah rujukan ringkas kepada orang, tempat, atau peristiwa yang terkenal. Kadangkala rujukan itu dibuat dengan jelas sekali. Alusi ialah bentuk kiasan atau perbandingan untuk menggambarkan sesuatu dengan lebih jelas dan lebih grafik lagi. Penggunaan alusi mestilah dengan penuh kesedaran bahawa khalayak tahu dan biasa dengan rujukan yang digunakan. Jika rujukan itu asing, pembaca tidak akan dapat menggambarkan kiasan itu, Malah mereka mungkin akan kecewa atau marah.

Rujukan dalam alusi dapat dibuat bagi perkara yang berikut:
a.                    Watak manusia
b.                    Tempat
c.                    Kejadian
d.                    Ucapan, ungkapan, atau petikan

Tidak kira apa rujukan yang dibuat dan sumber yang diambil, alusi mestilah sesuai dan wajar dengan perkara yang ditulis dan menerangkan perkara tersebut, dan terletak dalam lingkungan pengetahuan pembaca.
Contoh:
i.                      Sifat Siti Khadijah yang menjadi pakaian peribadi isteriku tiada bandingannya.
ii.                     Jangan hendaknya berlaku Peristiwa 13 Mei selepas perselisihan kaum itu.
iii.                    Kami mengunjungi negeri serambi Makkah dengan membawa misi penting.

Dengan hanya menggunakan nama istieri Rasulullah SAW (Siti Khadijah), maksud sebenar yang tersirat sudah dapat disampaikan bagi menggambarkan peribadi si isteri. Begitu juga Peristiwa 13 Mei yang sudah menjadi pengetahuan umum mempunyai implikasi sejarah pahit akibat pergeseran antara kaum. Kota Makkah yang menjadi bumi suci bagi umat Islam sudah menjelaskan maksud penulis terhadap sebuah negeri yang dikunjungi itu. Tanpa memberikan cirri yang terperinci pembaca sudah memahami maksud pernyataan dalam ayat-ayat tersebut. Inilah kelebihan dan keistimewaan alusi apabila digunakan secara tepat dalam pengucapan.
                Dalam buku ini terkandung banyak lagi jenis majas atau bahasa kiasan yang memerlukan huraian lanjut. Tetapi bagi tujuan penggunaan lazim para pelajar, huraian tentang beberapa jenis bahasa kiasan yang diberikan ini sudah memadai. Yang lebih penting ialah para pelajar lebih kerap menggunakan bahasa kiasan, terutama dalam karangan yang memerlukannya atau dalam ucapan kerana kesannya kepada pembaca dan pendengar lebih hebat daripada hanya mengucapkan hasrat secara langsung. Pengucapan secara langsung sangat kaku sifatnya dan tidak menjentik rasa khalayak.
                Para guru juga dapat menggalakkan pelajar berlatih menggunakan bahasa kiasan dalam buku ini Cuma berfungsi untuk membuka minda dan menghidupkan imaginasi bahasa serta daya artistik retorik pelajar. Mereka tidak seharusnya meniru bulat-bulat ungkapan yang diberikan, sebaliknya hendaklah mencipta ungkapan sendiri kerana ciptaan yang tulen akan lebih berkesan daripada ungkapan yang sudah dibuat oleh orang lain.


 terima kasih....

Guru-guru yang mendidikan anak bangsa dengan penuh dedikasi.

Guru Besar dengan tanggungjawabnya tersendiri.


Bersama anak-anak didik tersayang....


Sekolah Kebangaan Semua....




Tugasan Gelagat Organisasi

Boleh berkongsi ilmu untuk kebaikan bersama.
Tugasan ini disiapkan semasa menuntut di fakulti Pengurusan Dan Perniagaan, Universiti Terbuka Malaysia.
Kepada adik-adik yang masih menuntut dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, boleh memanfaatkan ilmu ini untuk tujuan pembelajaran.


 1.       PENGENALAN
Gaya atau pendekatan kepemimpinan seorang  Pemimpin Organisasi Yang Berjaya merupakan gelagat individu  dalam sesebuah organisasi. Untuk   menjadi seorang pemimpin / pengurus yang berkesan, penting bagi seseorang itu mengetahui dan memahami gelagat pekerja-pekerjanya, manakala fungsi sebagai seorang pemimpin / pengurus  ialah:
a)       Merancang
b)       Menyusun
c)       Mengarah/Memimpin
d)       Mengawal
Sebagai seorang  pemimpin / pengurus, peranan untuk mengurus juga amat penting untuk memastikan kejayaan organisasi. Antara peranan   pemimpin / pengurus ialah :
a)       Peranan Antara Perorangan (Interpersonal)
Peranan in merujuk kepada keperluan seorang pengurus berkomunikasi dengan pekerja bawahan dan rakan sekerja yang lain. Ianya terkandung dalam 3 peranan iaitu:
·         Menjadi tunggak (figurehead) kepada organisasi
·         Pemimpin (leader)
·         Penghubung (liaison)
b)       Peranan Memberi Maklumat (Informational)
Peranan untuk terlibat dalam proses mendapatkan dan menyebarkan maklumat.
·         Pemantau
·         Penyampai
·         Jurucakap
c)       Peranan Membuat Keputusan (Decisional)
·         Usahawan
·         Menangani Masalah
·         Pengagih Sumber
·         Perunding
Tidak kurang pentingnya juga sebagai seorang  pemimpin / pengurus yang berkalibar wajib mempunyai Kemahiran Pengurus supaya dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan. Kemahiran yang diperlukan ialah:
a)       Teknikal
Kemahiran yang merujuk kepada kebolehan atau keupayaan menggunakan pengetahuan atau kepakaran dalam sesuatu bidang yang dimilikinya.
b)       Kemanusiaan
Kemahiran atau kebolehan untuk bekerja dengan orang lain, memahami dan memotivasi.
c)       Konseptual
Kemahiran yang melibatkan kebolehan pengurus untuk membuat analisis dan diagnosis situasi yang kompleks.
Didalam analisis ini saya telah memilih seorang wanita yang telah berjaya mengukir nama sebagai seorang  usahawan yang berjaya dalam perniagaan beras di Malaysia dan bertaraf jutawan. Pada pendapat saya beliau mempunyai kepimpinan seorang pemimpin organisasi yang Berjaya. Beliau yang saya maksudkan ialah Pn.  HAJAH FAIZA BAWUMI SAYED AHMED Pengurus Besar Beras FAIZA.

HAJAH FAIZA BAWUMI SAYED AHMED SELAYANG PANDANG
Seorang wanita yang berasal dari Mesir, bertemu jodoh  dengan suaminya Hj Abu bakar bermula daripada perkenalan mereka di Mesir ketika suaminya belajar di Mesir dalam bidang Ijazah Sarjana Muda. Setelah berkahwin dan dikurniakan cahaya mata yang pertama, beliau di bawa oleh suaminya untuk berhijrah ke Malaysia.
Tugasan suaminya yang sibuk sebagai seorang  kadi membuatkan Puan Hjh Faiza mencari aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan bagi mengelakkan masanya terluang begitu sahaja. Dalam masa 3 bulan, Hjh Faiza sudah boleh berbahasa melayu dan mula melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kampung dan kemasyarakatan.

DARI SEORANG SURIRUMAH KE PENTAS PERNIAGAAN
Sebelum  menjadi   antara   syarikat   pemborong   beras  yang   terbesar    di  Malaysia.  Syarikat    yang   beribu   pejabat    di Batu Pahat    Johor   ini   hanya  beroperasi daripada bisnes runcit yang biasa sahaja. 
Beliau bermula melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan apabila mula menjahit pakaian kanak-kanak untuk dijual kepada jiran-jiran. Hjh faiza yang mempunyai diploma dalam bidang jahitan mula menjahit safra,set sarung bantal dan cadar bersulam pula. Dengan keuntungan   jualan     yang   ada,    beliau      mengumpul     modal      untuk       mencari
peluang dalam perniagaan yang lain pula.

Setelah berhijrah ke Mersing, Hjh Faiza amat berminat dalam menghasilkan rempah kari yang kebanyakkannya diusahakan oleh peniaga-peniaga India. Beliau mula membeli pelbagai rempah ratus dan mempelajari cara membancuh ramuan rempah ratus tersebut untuk menghasilkan rempah kari ikan dan daging. Beliau bersungguh-sungguh dalam menghasilkan rempah terbaik dengan mendapatkan respon dari rakan-rakan terdekatnya. Pada peringkat permulaan, beliau melakukan semua aktiviti perusahaan ini sendirian daripada proses mencuci, menjemur, dan menggoreng rempah ratus tersebut.

Perusahaan rempah Hjh Faiza semakin popular dengan kepelbagaian produk baru seperti produk rempah kurma, rempah beriyani, rempah sup dan macam-macam lagi. Ia mula dipasarkan di seluruh kedai-kedai runcit dan kawasan felda sekitarnya. Pada peringkat permulaan, Hjh Faiza tidak mempunyai apa-apa label dan jenama pada produk beliau. Ini yang membuatkan orang ramai memberi nama kepada produk rempah beliau sebagai "rempah      tok      kadi"   memandangkan     suami     beliau   yang     bertugas    sebagai 
kadi sebelum bertukar kepada jenama "Bunga Raya".

Hjh Faiza kemudian terlibat dalam aktiviti perniagaan kedai runcit disamping masih meneruskan perniagaan rempah beliau. Beliau mula menjadi pengedar gas petronas dan bercadang untuk menjadi pemborong beras pula. Pada tahun 1982, tertubuhnya syarikat Faiza secara rasmi dan beliau memohon lesen pemborong beras dan mula memasarkan beras di sekitar Johor, Melaka dan Kuala Lumpur.

Pada 1992 syarikatnya menjadi Sdn Bhd dan mula menjalankan kerjasama dengan Lembaga Padi Beras Negara dan menjadi ahli dalam Kumpulan Bernas. Kepekaan masyarakat tentang penjagaan kesihatan menimbulkan idea kepada Hjh faiza untuk memperkenalkan "beras Ponni" kepada rakyat Malaysia. Beras Ponni yg dipercayai kurang kandungan   kanjinya     amat     sesuai     untuk    pesakit     kencing       manis,  darah 
tinggi dan mereka yang menjaga berat badan.

Beliau bersungguh-sungguh untuk memperkenalkan beras ponni dengan menjalankan kerjasama dengan UPM untuk mengkaji kualiti beras ponni ini. Beliau sanggup membelanjakan jutaan ringgit bagi projek ini berjaya. Beliau kemudiannya memohon hak eksklusif daripada Bernas untuk menjadi pemborong beras ponni. Beliau memasarkannya dengan nama Taj Mahal. Pelbagai produk beras dibawah syarikat Faiza seperti basmathi dan beras  wangi mendapat sambutan  yang mengalakkan dari  masyarakat. Syarikatnya 
mula  berkembang   pesat    dengan pembinaan     kilang    beras     bersaiz  40,000  kaki persegi dan penggunaan teknologi canggih.

Hajah Faiza amat percaya kepada usaha gigih dan keikhlasan dalam berniaga adalah punca kejayaan. Beliau sentiasa mendapat kemurahan rezeki dalam perniagaan.

2.             LATAR BELAKANG SYARIKAT               
Syarikat FAIZA ditubuhkan pada tahun 1983, dengan memfokus dalam penjualan beras. Syarikat ini terletak di atas tanah seluas 40,000 kaki persegi, dan beralamat di PLO 442, Jalan Wawasan 16,  Kawasan Perindustrian Sri Gading 2, 83300 Batu Pahat. Syarikat ini boleh dihubungi dengan talian telefon bernombor  607-4556900  dan Nombor Faks  607-4557900. Nombor lesen bagi perniagaan Syarikat Faiza Sdn, Bhd ialah 247191-D.
Dalam tempoh sembilan tahun, perniagaan beras keluaran syarikat Faiza telah ditubuhkan pada tahun 1982, mendapat sambutan luar biasa daripada penggemar beras wangi. Jaringan perniagaan Faiza bukan sekadar hanya dalam kalangan pelanggan di sekitar Johor malah jenamanya mula dipercayai pelanggan di Melaka dan Kuala Lumpur. Apabila jenama Beras Faiza semakin dipercayai telah membawa kepada penubuhan syarikat korporat yang dilihat lebih berdaya saing. Secara rasminya, pada tahun 1992, syarikat Faiza dikenali sebagai Syarikat Faiza Sdn. Bhd (SGSB).
Pada 1992 syarikatnya menjadi Sdn. Bhd dan mula menjalankan kerjasama dengan lembaga Padi dan Beras Negara dan menjadi ahli dalam Kumpulan Bernas. Kepekaan masyarakat tentang penjagaan kesihatan menimbulkan idea kepada Hjh. Faiza untuk memperkenalkan ‘Beras Ponni’ kepada rakyat Malaysia. Beras Ponni yang dipercayai kurang kandungan kanjinya amat sesuai untuk peaskit kencing manis, darah tinggi  dan mereka yang menjaga berat badan.
Usahawan Bumiputera perlu menggunakan peralatan berteknologi tinggi Dalam pembungkusan bagi menjamin produk keluaran mereka sentiasa bermutu tinggi. Kilang Syarikat Faiza Sdb. Bhd telah menggunakan teknologi pembungkusan yang bukan sahaja dijamin bersih dan bermutu, tetapi dilengkapi cetakan tarikh beras dibungkus.
Pihak pengurusan Syarikat Faiza Sdn. Bhd. Amat berbangga dengan perkembangan dan kemajuan perniagaan perniagaan syarikat ini yang secara tidak langsung turut mengharumkan nama kaum bumiputera. Syarikat ini juga mendpaat penghargaan kerajaan kerana program sosial yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dalam membantu meringankan bebanan golongan miskin di negara ini.
Syarikat Faiza telah membuka kilang baru berharga RM17 juta dan memulakan operasinya tahun lalu selepas berpindah dari Peserai, Batu Pahat. Kilang ini mampu membungkus 10,500 tan beras sebulan yang diedarkan ke seluruh Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. Syarikat tersebut juga mempunyai tiga lagi kilang pembungkusan iaitu di Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu untuk edaran di kawasan tengah, utara dan timur.
Kebolehan luar biasa Syarikat Faiza Sdn. Bhd. Membolehkan syarikat pembekal beras terkemuka negara ini mendapat pelbagai pengiktirafan. Antaranya termasuklah, ISO 9001:2000 oleh SIRIM pada Mac 2004, anugerah Superbrand Taj Mahal oleh Superbrand Malaysia pada November 2003, anugerah Sijil Halal 2003 oleh JAKIM dan anugerah Pembekal Beras Terbaik BERNAS pada Julai 2001.               

3.  ANALISIS GAYA KEPIMPINAN / PENDEKATAN
Kepimpinan secara umumnya merupakan suatu kuasa usaha individu untuk mempengaruhi orang lain atau pengikutnya untuk menerima pandangannya. Sekiranya usaha itu berjaya, pengikut yang berkenaan akan menurutinya atau patuh pada apa yang dikehendaki atau diperintah olehnya.
          Dalam konteks organisasi, sudah tentulah gelagat yang diperlihatkan oleh pemimpin berupa satu usaha bagi menerapkan idea-ideanya yang selari dengan matlamat organisasi ke dalam pemikiran pengikutnya dan selajutnya memimpin mereka ke arah pencapaian matlamat.
              Seseorang pemimpin akan mempunyai kuasa pemimpin bagi mencapai setiap matlamat dalam organisasi. Punca kuasa setiap pemimpin boleh diperolehi dari Klasifikasi Punca Kuasa seperti :-
a)       Ciri-ciri Peribadi Individu
b)       Kepakaran Individu
c)       Kedudukan Formal
d)       Paksaan
e)       Ganjaran

3.1 Ciri-ciri Peribadi Individu
                Hjh. Faizah Bawumi merupakan seorang pemimpin yang berusaha gigih, tidak pernah kenal erti jemu untuk maju dimasa akan datang. Bermula dari mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah ke rumah, perniagaan runcit sehingga tertubuhnya satu syarikat yang begitu maju iaitu Syarikat Faiza Sdn. Bhd. 
Hjh. Faizah tidak pernah rasa penat dan beliau sentiasa bersungguh-sungguh dalam meningkatkan perniagaannya. Selain itu juga beliau merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Ini kerana beliau sentiasa melibatkan diri dalam membantu golongan miskin di Malaysia dengan menjadi penaja bagi Program Bersamamu TV3 serta memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa tragedi gempa bumi serta tsunami di luar negara.
Beliau juga amat percaya kepada usaha gigih dan keikhlasan dalam berniaga adalah punca keajayaan.Sifat kepimpinan inilah menjadi tunggak dalam organisasi. Setiap ciri-ciri pemimpin yang bagus dan baik merupakan satu kuasa yang membolehkan ahli dalam organisasi menghormati, menyanjungi dan menghormati beliau.
                Kuasa ini dikenali sebagai KUASA RUJUKAN.

3.2 Kepakaran Individu
                Kepakaran seseorang dalam sesuatu bidang juga dapat memberi peluang kepadanya memperoleh kuasa. Walau bagaimanapun, had kuasa hanya terbatas dalam aspek kepakaran yang beliau miliki sahaja.
Begitu juga dengan Hajjah Faizah.Beliau merupakan seorang yang pakar dalam pembuatan rempah. Mengikut sejarah, setelah beliau berhijrah ke Mersing beliau amat berminat dalam mengusahakan pembuatan kari yang kebanyakkan dihasilkan oleh peniaga-peniaga India. Bermula dengan membeli rempah ratus dan mempelajari cara membancuh ramuan rempah ratus untuk menghasilkan rempah kari ikan dan daging.
Beliau bersungguh-sungguh dalam menghasilkan rempah yang terbaik dengan mendapat respon dari rakan-rakan terdekatnya. Pada peringkat permulaan beliau melakukan semua aktiviti secara bersendirian iaitu dari proses mencuci, menjemur dan menggoreng rempah.
Semakin hari semakin popular perusahan rempah Hajjah Faizah dengan wujudnya pelbagai rempah termasuk rempah beriani, rempah kurma, rempah sup, rempah kunyit, rempah bukhari, serta serbuk cili. Pada mulanya beliau hanya menjual dan memasarkan produknya di sekitar kawasan felda serta di seluruh kedai-kedai runcit yang berdekatan.
Beliau kemudian terlibat dalam aktiviti perniagaan runcit disamping masih meneruskan perniagaan rempah beliau. Dengan tertubuhnya syarikat Faiza secara rasmi pada tahun 1982 beliau memohon lesen untuk memborong beras dan  mula memasarkan beras disekitar Johor, Melaka dan Kuala Lumpur.
Justeru dengan kepakaran yang dimiliki oleh Hajjah Faizah, orang-orang yang berada dalam organisasinya tidak akan mempertikai serta akur segala arahannya sewaktu menjalankan tugas. Kepakaran seseorang yang menghasilkan pemilikan kuasa bagi seseorang pemimpin ini dikenali sebagai KUASA KEPAKARAN.

3.3 Kedudukan (Jawatan/Peranan) Formal
                Seseorang yang diberi jawatan dalam hierarki sesuatu organisasi secara automatiknya mempunyai kuasa yang sah dari segi undang-undang organisasi yang berkenaan sahaja. Kuasa ini dikenali sebagai KUASA SAH.
Kedudukan Hajjah Faizah sebagai CEO dalam Syarikat Faizah Sdn. Bhd. banyak membantu dalam menjalankan pemasaran serta mempertingkatkan hasil jualan produk keluarannya ke serata tempat.
Dalam organisasi Syarikat Faizah, Hajjah Faizah telah melantik beberapa orang mengikut kepakaran masing-masing dalam menjalankan operasi syarikatnya. Setiap pegawai yang dipilih mempunyai kepakarannya sendiri dan mempunyai organisasinya sendiri. Ini termasuk bahagian pemasaran dan pengiklanan.
Di bawah organisasi Pemasaran dan pengiklanan saling berkait diantara satu sama lain. Sepertimana yang kita ketahui banyak iklan produk keluaran Syarikat Faiza telah di keluarkan samada dimedia cetak mahupun dimedia elektronik.
Sehingga kenderaan rasmi yang menghantar setiap produk keluarannya juga mempunyai iklan. Apabila sahaja orang awam melihat kenderaan tersebut, mereka sudah mengetahui bahawa kenderaan itu adalah milik Syarikat Faizah.
Begitu juga dengan Program Bersamamu TV3. Sebut sahaja program tersebut orang akan tahu ia begitu sinonim dengan Syarikat Faizah dan Hajjah Faizah Bawumi.

4.             TEORI KEPIMPINAN
Pelbagai Kajian boleh dilakukan bagi mengenalpasti apakah teori yang digunakan oleh pemimpin  - pemimpin yang berjaya dalam sesuatu bidang khususnya perniagaan dan lain –lain . Setiap pemimpin mempunyai cara pimpinannya tersendiri untuk berjaya dalam sesebuah perniagaan.  Antara teori yang boleh dilakukan seperti Teori Trait, Teori Gelagat, Teori Kontingensi dan Teori Neokarismatik. Bagi usahawan Syarikat Beras Faiza iaitu Hajah Faiza Bawumi Syed Ahmed, teori neokarismatik dilakukan bagi bagi mengkaji tentang kepimpinan beliau. Hajah faiza amat percaya kepada usaha gigih dan keikhlasan dalam berniaga adalah punca kejayaan. Beliau sentiasa mendapat kemurahan rezeki dalam perniagaan. Sebagai tips untuk usahawan-usahawan muslim diluar sana, beliau sering mengamalkan solat tahajud dan solat dhuha setiap hari.
Teori Neokarismatik menekankan sepertimana menurut Robbin ( 2003 ) teori tersebut mempunyai 3 tema utama iaitu :-
1.       Ia menekankan penampilan gelagat pemimpin yang simbolik dan emosional
2.       Ia cuba untuk menerangkan bagaimana sesetengah peminpin , mampu untuk mewujudkan komitmen para pengikut pada satu tahap yang luar biasa
3.       Ia tidak lagi membicarakan soal kepimpinan berdasarkan kepada teori – teori yang kompleks, sebalikmya lebih berminat untuk melihatnya daripada perspektif yang mudah sama seperti apa yang dilihat oleh masyarakat umum.
Antara corak kepimpinan dalan Teori Neokarismatik adalah seperti Kepimpinan Transaksional, Kepimpinan Karismatik dan Kepimpinan Transformasional. Di sini kita akan membincangkan ciri –ciri yang dimiliki oleh Hajah Faiza Bawumi Syed Ahmed dalam memimpin syarikat berkenaan berdasarkan kepimpinan – kepimpinan di atas.

4.1    Kepimpinan Transaksional
Kepimpinan ini bermaksud  kepimpinan yang memperlihatkan gaya berorentasikan tugas dan hubungan bagi mempengaruhi pekerja melakukan apa yang jelas serta yang dikehendaki oleh mereka dalam  usaha untuk mencapai matlamat organisasi atau   memandu , mendorong pengikut mereka ke arah matlamat dengan menjelaskan peranan dan tugas
Antara ciri-ciri pemimpin transaksional seperti berikut :-

(a)           Menggunakan ganjaran, menjanjikan ganjaran untuk prestasi dan pencapaian seperti yang dilakukan oleh beliau iaitu
menyediakan ganjaran kepada pekerja yang cemerlang dalam setahun sekali dengan diberi penghargaan seperti percutian, umrah dan lain – lain. Seperti pada tahun 2009 En. Ali bin Saat telah dipilih menjadi pekerja yang cemerlang .             
(b)           Pengurusan menurut pengecualian: memerhati dan mencari pelencongan daripada peraturan dan piawaian dan mengambil tindakan. hukuman dikenakan kepada pekerja yang melanggar peraturan syarikat yang telah ditetapkan seperti tidak hadir bekerja dan gagal menyempurnakan kerja dengan cemerlang
(c) Pengurusan menurut pengecualian (pasif): mengambil tindakan hanya apabila piawai tidak tercapai.

4.2    Kepimpinan Karismatik
Kepimpinan Karismatik mempunyai kaitan yang positif dengan prestasi kerja , dalam erti kata semakin tinggi karisma seseorang pemimpin semakin tinggi prestasi individu yang dipimpinnya.  Ini mendorong orang bawahannya berasa puashati dengan kepimpinannya. Mereka juga berasa seronok dengan peribadi pemimpinnya. Kedua – dua emosi yang baik ini membawa kesan yang baik kepada tingkah laku dan kerja – kerja merea yang dipimpin. Ia menjadikan kepimpinannya lebih berkesan
Kajian tentang kepimpinan karismatik menumpukan kepada mengenali perilaku yang membezakan pemimpin karismatik dan yang tidak karismatik. Pemimpin karismatik dikatakan mempunyai ciri-ciri seperti keyakinan diri yang tinggi, berpengaruh, dan kesungguhan (House 1971). Bennis dan Nanus (1985) mendapati pemimpin berkarisma mempunyai empat ciri penting:
(i) berwawasan jelas dan menarik atau ada naluri perjuangan (sense of purpose),
(ii) boleh berkomunikasi tentang wawasan mereka kepada pengikut,
(iii) menunjukkan konsistensi dan penumpuan, dan usaha gigih dan keikhlasan dalam berniaga adalah punca kejayaan. Beliau sentiasa mendapat kemurahan rezeki dalam perniagaan.
(iv) mengenali kekuatan itu sepenuhnya. 

Conger dan Kanungo (1987) menyenaraikan tujuh ciri pemimpin karismatik: 
1.       (a)           Keyakinan diri: mereka yakin terhadap keputusan dan kebolehan mereka Perkara yang sentiasa di pandang berat oleh beliau seperti displin ketika bekerja, ketepatan masa, kerjasama sesame rakan sekerja,
1.1    Perbincangan
1.2    Biberi peluang kepada pekerja untuk bersuara @ member pendapat.
(b)           Berwawasan: mereka mempunyai matlamat . Beliau sanggup membelanjakan jutaan ringgit bagi projek ini berjaya. Beliau kemudiannya memohon hak eksklusif daripada Bernas untuk menjadi pemborong beras ponni. Beliau memasarkannya dengan nama Taj Mahal.
(c)           Kebolehan menyebarkan wawasan: mereka menghuraikan dan menyatakan wawasan yang boleh difahami oleh pengikut.
(d)           Keyakinan dan kesungguhan tentang wawasan: mereka sungguh yakin tentang wawasan mereka, rela mengambil risiko persendirian, mengeluarkan belanja, dan berkorban untuk mencapai wawasan itu seperti dengan pembelian  kilang baru berharga RM17 juta dengan peralatan berteknologi tinggi dalam pembungkusan bagi menjamin produk keluaran mereka sentiasa bermutu tinggi.
 (e)          Perlakuan luar biasa; perilaku mereka tidak mengikut norma atau kebiasaan
(f)            Dianggap agen perubahan: pemimpin karismatik dianggap sebagai agen perubahan yang radikal. Ianya boleh dilihat daripada beliau baru mula berniaga sehingga sekarang mula  berkembang   pesat    dengan pembinaan     kilang    beras     bersaiz  40,000  kaki persegi dan penggunaan teknologi canggih
(g)           Peka pada persekitaran: mereka sensitif terhadap kekangan persekitaran dan sumber . Beliau sedar mengenai tabiat rakyat Malaysia pada masa kini iatiu pemakanan seimbang dan pemgambilan makanan diet untuk kesihatan. Dan beliau telah memperkenalkan Beras Pooni iaitu  yang dipercayai  kurang kandungan kanjinya amat sesuai untuk pesakit kencing manis, darah tinggi dan mereka yg menjaga berat badan

4.3    Kepimpinan Transformasional
Pemimpin transformasi pula memberikan perhatian secara individu menggerakkan intelek, dan mempunyai karisma . Pemimpin transformasional  juga dapat mewujudkan suatu kemampuan di kalangan pengikutnya bagi menjanakan idea untuk melihat dan menangani perkara – perkara atau masalah – masalah lama dengan pendekana yang baru.
Ciri-ciri pemimpin transformasi:
 
(a)     Karisma: menyediakan wawasan dan misi, meningkatkan maruah, hormat dan kepercayaan. Dengan adanya vision syarikat iaitu "
To be the leader in the food industries in Malaysia which specializes in the production and distribution of specialty and high-end rice
yang  menjadi tunggak atau pegangan syarikat untuk mencapai sasaran pengeluaran nya. Disamping itu juga syarikat ini mempunyai mission koprate iaitu :-

-       Pasaran Produk  Faiza akan di pasarkan keseluruh dunia
-       To fulfill customer satisfaction by providing assortments of hygienically quality product, services and product availability.
-       To enlarge the market to other country and make variety of product under the brand name of Faiza
(b)           Semangat: meletak dan menyebarkan matlamat yang mencabar, menggunakan simbol untuk menumpukan tenaga.
(c)           Menggerakkan intelek: menggalakkan kecerdasan, rationaliti, dan pragmatik.
(d)           Memberi perhatian kepada individu: perhatian secara personal, bimbingan dan nasihat.

KESIMPULAN
Daripada perbincangan di atas, beberapa kesimpulan dapat dirumuskan. Pertama, konsep kepimpinan dan pengurusan strategik itu tidak keseluruhannya seerti. Kepimpinan lebih menekankan manusia dan wawasan, sementara pengurusan strategik menekankan strategi, perancangan dan sistem. Untuk mencapai kecemerlangan organisasi, kita memerlukan kedua-duanya serentak. Kepimpinan diperlukan untuk membuat peningkatan yang besar. Pengurusan strategik diperlukan untuk mencapai objektif dengan cekap.
Kedua, terdapat banyak teori kepimpinan yang timbul dari Barat. Ada yang mengatakan kepimpinan ini ialah sifat kebolehan semula jadi, yang lain pula kepimpinan ini merupakan suatu kemahiran yang boleh diajar dan dipelajari melalui pengalaman dan latihan.
Ketiga, kecemerlangan organisasi di dalam negara akan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Jika kita boleh berjaya menjadikan semua organisasi di Malaysia sebagai organisasi cemerlang atau bertaraf dunia dengan sendirinya Malaysia akan menjadi cemerlang.
Kita telah memandang ke Barat dan ke Timur, kita perlu juga menoleh ke belakang (sejarah kita), sambil kita meramalkan masa depan. Untuk pengurusan strategik dan kepimpinan yang akan membawa organisasi kecemerlangan kita juga perlu memandang ke bawah (anak buah dan mereka yang berkepentingan)

 Selamat Maju Jaya dan Semoga Berjumpa Di Puncak Kejayaan.......