Terima kasih kepada Cikgu Azizul Rahman Bin Abdul Rahman, beliau telah memberi banyak ilmu yang sangat berguna untuk dimanfaatkan terutama kepada anak-anak bagi meninggikan penguasaan Bahasa Melayu.
BUNGA-BUNGA BAHASA UNTUK PENULISAN
Prakata
Komunikasi memerlukan alat yang sesuai untuk menjadikannya lebih berkesan. Dalam pengucapan atau penulisan, ada gaya yang berbeza untuk situasi yang berlainan. Apabila komunikasi berlangsung dengan gaya dan nada yang serasi dengan kehendak khalayak, mesejnya akan lebih mudah diterima. Penulisan mahupun lisan sangat bergantung pada kesesuaian cara berkomunikasi. Dalam masyarakat Melayu, atau dalam konteks sekolah, serta dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Melaya, teknik berkomunikasi secara berkesan perlu diberi perhatian. Inilah yang disebut retorik, yakni seni pengucapan.
Penulisan buku ini bertujuan menyediakan alat bantuan kepada penulis amatur atau khususnya pelajar yang belum mahir mencipta kalimat yang berseni, indah serta efektif. Dengan membiasakan diri menulis dalam gaya bahasa yang indah, walaupun secara meminjam, lama-kelamaan mereka akan terdorong untuk menghasilkan kalimat indah sendiri secara spontan. Tidak ada salahnya jika pada peringkat awal seseorang pelajar meminjam gaya bahasa yang telah digunakan oleh penulis yang lebih matang kerana secara logiknya tiada seorang manusia pun terus berkeupayaan mencipta bahasanya sendiri. Penulis yang matang pun bermula dengan meniru bahasa orang lain.
Bagi membantu penulis amatur dan pelajar, buku ini menyediakan tiga segmen, iaitu (a) bahasa kiasan untuk karya kreatif, (b) frasa puitis untuk karya nonkreatif, dan (c) peribahasa untuk penulisan. Peribahasa boleh diaplikasikan dalam karya kreatif dan karya nonkreatif menurut kesesuaiannya. Semoga pengguna buku ini mendapat manfaat daripada bahan yang disediakan. Manfaat itu bukan hanya dalam bentuk pengambilan secara langsung, malahan dapat melatih mereka untuk lebih kreatif menghasilkan kalimat indah secara spontan tanpa berdasarkan buku panduan lagi. Selamat berusaha mengucapkan idea secara berseni.
Penerbit
Bahasa Kiasan untuk Karya Kreatif
Bagi penulisan kreatif, ada gaya bahasa yang tersendiri demi menimbulkan keindahan secara berkias. Dalam masyarakat Melayu khususnya, atau masyarakat Timur amnya, bahasa kiasan diperlukan untuk komunikasi kerana sifat masyarakat itu penuh dengan kesantunan. Kritikan atau teguran misalnya, tidak disampaikan secara langsung demi menjaga maruah orang yang ditegur. Demikianlah sifat masyarakat yang sangat mementingkan adab.
Masyarakat Melayu tradisional yang hidup berdamping dengan alam sering menjadikan alam sebagai alat perbandingan untuk menyatakan hasrat dan persepsi mereka tentang segala hal. “Alam terbentang jadikan guru” merupakan ungkapan peribadi orang Melayu kerana alam dan sunahnya tidak menipu. Gerak awan sebelum turunnya hujan, ombak lautan yang berselang seli santun dan ganasnya, pucuk tumbuhan yang seragam siatnya pada setiap musim, dan begitu juga sifat haiwan yang tidak berubah polanya sentiasa menjadi rujukan masyarakat Melayu tradisi. Mereka menjadikan alam sebagai pembayang kepada rentak dan tingkah manusia supaya hasrat dan aspirasi mereka tersampai secara halus, sesuai dengan kehalusan budi dan daya manusia Melayu. Inilah keunikan bangsa yang seharusnya disuburkan demi memastikan budaya halus Melayu tetap melindungi peribadi umatnya.
Biarpun masa berubah dan manusia Melayu sudah dirempuh oleh peradaban besar dunia yang semakin berkuasa lantaran terbukanya langit maklumat, sahsiah murni bangsa wajar dikekalkan. Dalam hubungan ini, bentuk pengucapan secara berkias, baik dalam komunikasi bersemuka mahupun dalam budaya tulisan perlu diajarkan kepada generasi muda. Budaya halus ini berupaya mengisi kekosongan jiwa dan jati diri generasi muda. Dengan memiliki kemampuan menyusun kata yang berkias, generasi muda akan memiliki jati diri yang sendiri, berbeza daripada golongan yang sudah kehilangan nilai tersebut.
Menyedari hakikat itu, bab ini menyenaraikan sejumlah besar ungkapan, kalimat dan frasa yang berkias atau disebut sebagai bahasa figuratif. Bahasa figuratif berkomunikasi secara analogi. Sesuatu perkara disamakan dengan perkara lain yang biasa dan perbandingan itu mengajak pembaca untuk menggambarkan persamaannya.
Kaedah ini berbeza daripada pengucapan secara harfiah.Apabila sesuatu bahasa itu mudah, langsung, dan terus terang dengan menggunakan kata untuk membawa maksud konvensional, maka bahasa itu disebut bahasa literal atau bahasa harfiah. “Literal” berasal daripada istilah Latin, iaitu litera yang bermakna letter; perkara literal ialah yang menurut letter. Maka literal ialah makna yang dicatatkan dalam kamus. Begitu juga harfiah yang kita gunakan sebagai asas perkataan huruf.
Sebaliknya, bahasa figuratif menunjukkan bahawa makna sesuatu kata atau ekspresi itu dikembangkan untuk mengisi ruang yang lebih luas atau ruang yang berbeza daripada yang biasa. Penulis atau penutur boleh mengembangkan kerana terdapat kesamaan atau perhubungan antara kedua-dua perkara yang menjadikan konteks itu nyata.
Bahasa figuratif yang juga disebut sebagai “majas”, kiasan atau figure of speech, berfungsi untuk meninggikan kesan penyampaian dengan cara membandingkan suatu benda atau subjek dengan benda atau subjek yang lain. Dengan cara itu, majas dapat mengubah dan menimbulkan nilai rasa atau kontonasi tertentu. Majas tergolong sebagai bentuk retorik, yakni bentuk bahasa yang bernilai pujukan atau untuk menyakinkan pendengar..
Majas dapat dibahagikan pula kepada beberapa jenis.
Antaranya adalah seperti yang berikut:
i. Simile
ii. metafora
iii. personifikasi
iv. depersonifikasi
v. hiperbola
vi. alusi
Simile
Simile membuat perbandingan dengan menggunakan perkataan “seperti”, “bagai”, dan “bak”. Silime mengandungi dua bahagian, iaitu subjek utama dan bahan bandingan. Contohnya “cinta bagai setetes embun”. Subjek utama bagi simile di atas ialah cinta dan bahan bandingannya ialah setetes embun. Biasanya, bahan bandingan mengandungi imej iaitu kata atau ungkapan yang membentuk sesuatu perkara yang boleh ditanggapi oleh deria. Setetes embun ialah imej atau lambang visual dan konkrit yang dapat dirasai oleh deria dengan atau lihat. Biasanya, bahan bandingan mengikuti subjek utama tetapi ada kala keadaan terbalik, iaitu bahan bandingan yang diikuti oleh subjek.
Simile digunakan untuk beberapa tujuan yang lazimnya sama dengan metafora. Penggunaan metafora dan simile yang berkesan mestilah memenuhi beberapa syarat:
a. Mestilah segar dan asli, Simile dan metafora yang klise (yang sudah biasa dan menjemukan) tidak akan membawa kesan yang kuat.
b. Bahan bandingan mesti sesuai dengan subjek yang dikemukakan.
c. Mesti selaras dengan konteks yang melatarinya.
d. Tidak seharusnya digunakan dengan kerap pada bila-bila masa atau pada mana-mana tempat.
Dalam buku ini, antara ungkapan simile ialah “bagai panah arjuna”, “seperti sebuah medan yang baru dipugar”. Ketiga-tiga ungkapan itu menjelaskan perkara yang lain tetapi dengan menggunakan unsur bandingan yang lebih mudah untuk difahami oleh pembaca akan maksud penulis. Dengan menggambarkan sekuntum kiambang secara visual, pembaca mudah memahami rupa perkara yang dikatakan oleh penulis. Dengan cara ini, daya imaginasi dan daya fakir pembaca dapat diaktifkan. Sekiranya sesuatu perkara itu disampaikan secara langsung, imaginasi pembaca akan mati, beku, dan tidak hidup. Malahan, pengucapannya menjadi hambar.
Metafora
Metafora ialah suatu bentuk perbandingan, berasal daripada bahasa Yunani metaphora yang bererti memindahkan, daripada meta (di atas atau melebihi) + phetein (membawa). Metafora tidak menyatakan bahawa sesuatu yang dibandingkan itu berkeadaan sepertinya tetapi sebaliknya unsur itu merupakan perkara yang sama dan bahawa kedua-duanya adalah serupa sedangkan hakikatnya bukan demikian.
Salah satu tujuan yang penting bagi metafora adalah untuk memperjelas, menghuraikan, atau menerangkan sesuatu perkara atau idea yang kurang lumrah atau yang asing. Oleh sebab konsep yang diperkenalkan itu tidak lazim, maka melalui metafora konsep itu dapat dikemukakan dengan imej tertentu supaya lebih mudah dilihat dan difahami. Selain memperjelas konsep, metafora juga digunakan untuk perkara yang berikut :
a. mengembangkan idea
b. mengungkapkan perasaan
c. menghiburkan perasaan
d. mencetuskan kesedaran
Metafora tidak berbeza daripada simile walaupun fungsinya untuk menyamakan sesuatu dengan unsur yang lain. Yang sebenarnya dimaksudkan ialah bahawa sesuatu yang dijadikan perbandingan itu menyerupai atau sama sepertinya. Perbandingannya adalah secara terus. Contohnya, “solat itu jantung kehidupan”. Kalimat ini tidak menggunakan perkataan “seperti”. “bagai”, “umpama” (seperti dalam simile) untuk menyamakan ibadah solat dengan organ jantung yang membawa makna organ paling penting dalam tubuh manusia.
Metafora juga sering terbina dengan cara menggabungkan dua unsur, iaitu yang konkrit dengan yang abstrak. Tujuannya adalah untuk menjelaskan unsur yang abstrak melalui unsur konkrit kerana deria manusia lebih mudah mengesan sifat unsur konkrit sebagai bandingan unsur abstrak.
Antara ungkapan metafora yang dimuatkan dalam buku ini ialah “cebisan belas” , “abu senja”, dan “mangkuk malam”. Ketiga-tiga ungkapan itu menggabungkan unsur abstrak dengan unsur konkrit bagi menyampaikan perspektif penulis secara visual. Ungkapan “cebisan belas” membawa maksud rasa belas kasihan itu hanya berupa cebisan atau sisa sahaja. Jadi, penulis tidak perlu menyatakan “rasa belasnya sedikit” kerana cara seperti itu tidak berseni dan tidak indah. Begitu juga “abu senja” merujuk kepada sifat konkrit “abu” yang berbentuk serbuk berterbangan bagi menunjukkan kedatangan senja seperti tebaran abu, perlahan dan berunsur mengelamkan suasana.
Gambaran seperti itu lebih mudah dikongsi dan difahami oleh pembaca kerana mental deria lihat mereka dihidupkan untuk memahami rupa unsur yang abstrak, yang asalnya tidak dapat dilihat. Pendeknya, metafora menjadikan sesuatu yang tidak dapat dikesan oleh pancaindera akhirnya dapat dikesan. Lebih penting, bukanlah ungkapan sebegitu lebih indah dan menarik kerana berlainan daripada pengucapan biasa?
Personifikasi
Satu lagi bahasa kiasan yang sangat popular ialah personifikasi. Personifikasi bermakna memberikan sifat manusia kepada benda atau binatang. Pada asasnya, ini merupakan bentuk metafora yang khusus. Dalam keadaan yang paling mudah dan lazim, personifikasi menggunakan kata ganti diri orang ketiga untuk perkara bukan manusia. Jika sebaliknya yang berlaku, iaitu manusia diberi sifat bukan manusia, maka konsep itu disebut dipersonifikasi.
Penyajak sangat gemar menggunakan teknik personifikasi untuk menggambarkan rupa alam kerana deria lihat dan pengalaman sedia ada pembaca lebih mudah memahami gambaran itu melalui bandingan dengan sifat manusia. Contoh personifikasi dalam buku ini ialah “pagi menyelak pangsir cuasa”, “langit yang menumpahkan air mata”, dan “kerisauan bertandang di hatinya”. Jika pagi dapat menyelak langsir suaca bukankah aneh kerana pagi bukannya manusia, tetapi sifat manusia itu diberikan kepada pagi demi mewujudkan gambaran hidup. Langit tidak ada wajah yang konkrit dan bukannya benda hidup tetapi apabila langit menangis ada unsur kesedihan diterapkan pada gambaran hujan yang turun dari langit. Begitu juga anehnya kerisauan yang hanya berbentuk perasaan boleh mengambil aksi manusia, iaitu hadir atau bertandang. Perkataan bertandang lebih bersifat halus, yakni kedatangan seseorang dengan tujuan yang baik, atau berziarah. Tetapi aksi itu diberikan kepada perasaan kerisauan demi memaksudkan kemunculan rasa risau itu dalam keadaan yang tidak mendadak.
Apabila pembaca berjaya mengasosiasikan rupa unsur bukan manusia itu dengan sifat dan aksi manusia, akan lebih jelaslah maksud penulis diterima oleh pembaca. Di sinilah letaknya kekuatan bahsa personifikasi. Kesannya lebih dalam berbanding dengan pengucapan biasa: hari pun pagi, hari hujan, hatinya risau. Memanglah mudah untuk memahami pengucapan begitu, tetapi maksud yang lebih mendalam dan berunsur emosi tidak kesampaian.
Depersonifikasi
Depersonifikasi ialah kebalikan daripada personifikasi, iaitu manusia pula diberi sifat bukan manusia. Kesannya dapat dirasai oleh pembaca dengan membandingkan aksi manusia dengan binatang atau unsur bukan manusia yang lain. Contohnya “senyumannya masih kaku tersimpan” “kegusaran yang bersarang”, dan “suara memetir”. Aksi dan perasaan manusia tersebut telah digambarkan dengan sifat bukan manusia. Senyuman boleh dikakukan dan disimpan; kegusaran boleh membentuk sarang (mungkinkah seperti sarang lebah atau sarang burung?); dan suara manusia menjadi petir. Jadi, mental pembaca akan menangkap persepsi penulis tentang ketiga-tiga perkara itu dengan syarat mereka memahami sifat unsur yang menjadi bandingan.
Hiperbola
Kata hiperbola berasal daripada bahasa Yunani yang bererti “pemborosan” atau “berlebih-lebihan”; dan diturunkan daripada perkataan hyper (melebihi) + ballein (melemparkan). Hiperbola ialah penggunaan kata yang berlebih-lebihan untuk menerangkan sesuatu. Gaya bahasa ini bukanlah untuk tujuan pemujukan literal tetapi untuk meningkatkan atau menghasilkan kesan tertentu. Majas ini melibatkan kata-kata, frasa, atau kalimat bagi menimbulkan kesan dari segi aspek jumlah, saiz, sifat.
Contohnya,
i. Suara itu mengandungi seribu derita yang tidak berkesudahan
ii. Tenungan tajam itu seolah-oleh ada dendam
iii. Air mata mencurah-curah dari tabir matanya
Alusi
Alusi ialah rujukan ringkas kepada orang, tempat, atau peristiwa yang terkenal. Kadangkala rujukan itu dibuat dengan jelas sekali. Alusi ialah bentuk kiasan atau perbandingan untuk menggambarkan sesuatu dengan lebih jelas dan lebih grafik lagi. Penggunaan alusi mestilah dengan penuh kesedaran bahawa khalayak tahu dan biasa dengan rujukan yang digunakan. Jika rujukan itu asing, pembaca tidak akan dapat menggambarkan kiasan itu, Malah mereka mungkin akan kecewa atau marah.
Rujukan dalam alusi dapat dibuat bagi perkara yang berikut:
a. Watak manusia
b. Tempat
c. Kejadian
d. Ucapan, ungkapan, atau petikan
Tidak kira apa rujukan yang dibuat dan sumber yang diambil, alusi mestilah sesuai dan wajar dengan perkara yang ditulis dan menerangkan perkara tersebut, dan terletak dalam lingkungan pengetahuan pembaca.
Contoh:
i. Sifat Siti Khadijah yang menjadi pakaian peribadi isteriku tiada bandingannya.
ii. Jangan hendaknya berlaku Peristiwa 13 Mei selepas perselisihan kaum itu.
iii. Kami mengunjungi negeri serambi Makkah dengan membawa misi penting.
Dengan hanya menggunakan nama istieri Rasulullah SAW (Siti Khadijah), maksud sebenar yang tersirat sudah dapat disampaikan bagi menggambarkan peribadi si isteri. Begitu juga Peristiwa 13 Mei yang sudah menjadi pengetahuan umum mempunyai implikasi sejarah pahit akibat pergeseran antara kaum. Kota Makkah yang menjadi bumi suci bagi umat Islam sudah menjelaskan maksud penulis terhadap sebuah negeri yang dikunjungi itu. Tanpa memberikan cirri yang terperinci pembaca sudah memahami maksud pernyataan dalam ayat-ayat tersebut. Inilah kelebihan dan keistimewaan alusi apabila digunakan secara tepat dalam pengucapan.
Dalam buku ini terkandung banyak lagi jenis majas atau bahasa kiasan yang memerlukan huraian lanjut. Tetapi bagi tujuan penggunaan lazim para pelajar, huraian tentang beberapa jenis bahasa kiasan yang diberikan ini sudah memadai. Yang lebih penting ialah para pelajar lebih kerap menggunakan bahasa kiasan, terutama dalam karangan yang memerlukannya atau dalam ucapan kerana kesannya kepada pembaca dan pendengar lebih hebat daripada hanya mengucapkan hasrat secara langsung. Pengucapan secara langsung sangat kaku sifatnya dan tidak menjentik rasa khalayak.
Para guru juga dapat menggalakkan pelajar berlatih menggunakan bahasa kiasan dalam buku ini Cuma berfungsi untuk membuka minda dan menghidupkan imaginasi bahasa serta daya artistik retorik pelajar. Mereka tidak seharusnya meniru bulat-bulat ungkapan yang diberikan, sebaliknya hendaklah mencipta ungkapan sendiri kerana ciptaan yang tulen akan lebih berkesan daripada ungkapan yang sudah dibuat oleh orang lain.
Terima kasih cikgu....
ReplyDelete